Wednesday, 2 November 2011

Pemanasan Badan dan Regangan

Pakar kenderaan sering menasihat pemandu supaya memanaskan enjin terlebih dulu sebelum memulakan perjalanan, terutama pada waktu pagi.

Apakah tujuan membiarkan enjin dalam keadaan melahu selama beberapa minit sebelum digerakkan? Ketika proses pemanasan, minyak pelincir akan dialirkan ke semua bahagian enjin. Jika enjin terus dibebani sebelum dipanaskan, ini bermakna enjin terpaksa bekerja ketika minyak belum sampai ke setiap bahagian yang perlu dilinciri.

Akibatnya, bahagian yang bergeseran akan mengalami kehausan akibat geselan berat hingga enjin lebih cepat rosak.

Apakah kaitan memanaskan enjin dengan senaman? Tubuh manusia sama seperti enjin. Jika enjin menerima kesan buruk akibat kegagalan pemandu memanaskan enjin, tubuh manusia juga berkeadaan serupa.

Sesetengah orang bersenam untuk lebih sihat, tetapi selepas sekali atau dua kali melakukan senaman terus patah semangat untuk bersenam kerana bukan kesihatan bertambah baik, tetapi mengadu bahagian tertentu tubuh seperti kaki terseliuh dan sakit.

Masalah yang dialami Itu menunjukkan tubuh manusia perlu melalui proses sama seperti enjin kenderaan, memanaskan badan sebelum bersenam.

Memanaskan badan penting supaya otot dapat bertugas dengan berkesan, sekali gus mengelakkan kecederaan.

Sehubungan itu, tubuh memerlukan persediaan rapi dan tepat untuk melakukan senaman yang memerlukan tenaga dan kekuatan supaya senaman memberi pulangan positif dan pada masa sama, meminimumkan risiko kecederaan.

Bersenam tanpa memanaskan badan bererti sengaja mendedahkan diri kepada pelbagai kesakitan dan kecederaan.

Sesetengah orang mengetahui keperluan memanaskan badan, tetapi mempunyai anggapan salah bahawa sesiapa yang mempunyai keadaan fizikal yang baik tidak perlu berbuat demikian. Hakikatnya, setiap orang berisiko mendapat kecederaan apabila memaksa tubuh melakukan senaman.

Berhenti dengan tiba-tiba selepas bersungguh-sungguh melakukan senaman tanpa melegakan otot kembali seperti dalam keadaan rehat, juga boleh menyebabkan kesakitan seperti yang dialami orang yang tidak cergas, tetapi memaksa diri bersenam secara intensif.

Ketegangan otot yang dialami ketika bersenam kemungkinan besar berpunca akibat bersenam tanpa memanaskan badan sepenuhnya.

Kebaikan Memanaskan Badan

Faktor utama memanaskan badan ialah untuk melindungi otot, tendon dan ligamen terkoyak ketika pergerakan regangan yang kasar. Ini penting terutama bagi aktiviti seperti membaling dan menendang bola yang memerlukan pelbagai gerakan.

Latihan memanaskan badan juga meningkatkan pengaliran darah melalui tisu lembut dengan melebarkan saluran darah dan hasilnya, suhu meningkat dan anggota badan menjadi lebih lembut.

Bagaimanapun, pastikan senaman dilakukan segera selepas aktiviti memanaskan badan. Jika melewati tempoh 10 minit, badan akan kembali sejuk dan usaha memanaskan badan akan menjadi sia-sia.

Selain mencegah kecederaan, tubuh berasa lebih bersedia untuk melakukan senaman. Dari segi psikologi, seseorang itu akan lebih bersedia untuk menghadapi aktiviti sukan, terutama pertandingan peringkat tinggi.

Teknik Memanaskan Badan
Pastikan aktiviti memanaskan badan dilakukan mengikut teknik yang betul. Tempoh masa yang sesuai sekurang-kurangnya 10 minit. Kaedah lain yang digunakan ialah urutan kerana meningkatkan pengaliran darah melalui otot, tetapi mesti diikuti regangan otot.

Regangan betis

Berdiri dengan sebelah kaki berada di depan. Secara perlahan-lahan pindahkan berat badan kepada kaki depan. Ini menyebabkan otot betis diregang ke arah belakang. Kekalkan kedudukan itu kira-kira lima minit.

Kepantasan

Aktiviti berbentuk kepantasan seperti berjalan pantas dan joging perlahan meningkatkan pengaliran darah ke tisu dan otot.

Regangan bahu dan dada

Kedua-dua belah tangan di bahagian belakang dalam keadaan seperti bersalam. Tangan kemudian digerakkan ke atas dan kekalkan keadaan itu selama lima minit.

Melonggarkan bahagian atas tubuh

Gerakkan kedua belah tangan dari bahagian atas secara berperingkat-peringkat hingga ke bawah.

No comments:

Post a Comment